Filem tempatan 'Cigu Jumat' pamer keprihatinan kebajikan pelajar




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 26 Disember. - Seni Kreatif Production mempersembahkan satu hasil filem tempatan bertajuk 'Cigu Jumat' mengetengahkan aspek keprihatinan dan jiwa seorang pendidik terhadap kebajikan pelajar-pelajarnya.


Filem berdurasi 85 minit itu juga mengajar kita untuk sering ingat-mengingati masyarakat khususnya para ibu bapa pelajar dan pihak guru untuk saling berhubung rapat selain bekerjasama dalam sama-sama mendidik anak / pelajar.


Pengarah dan Penerbit Filem iaitu Awang Haji Mohammad Yunus bin Haji Md. Salleh semasa ditemui pada tayangan perdana di pawagam Aman Hill Cineplex hari ini menjelaskan, pembikinan filem arahannya itu memakan masa hampir setahun untuk menyiapkan sehingga selesai.


Awang Haji Mohammad Yunus yang juga mencetuskan idea/jalan cerita dan juga penulis skrip filem berkenaan berkata bahawa pemilihan para pelakon menerusi 'audition' (sesi uji bakat) secara tertutup dan gabungan para pelakon lama dan baharu akan dapat mewujudkan satu peluang berkongsi pengalaman mereka untuk memberikan lakonan watak yang berkesan dalam menghasilkan  satu mutu yang baik agar mesej itu sampai kepada audiens.


"Sementara itu, dari segi kos juga memainkan peranan penting, Alhamdulillah dengan adanya program yang diungkayahkan oleh pihak AITI menerusi Program Pitch and Produce 5.0 dengan sokongan pihak Oops! dapatlah memberikan peluang untuk berkarya dengan adanya dana yang boleh digunakan secara minimum serta beberapa syarikat dan individu turut menyokong dengan memberikan tajaan bagi filem ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna," katanya lagi.


Beliau seterusnya berharap adanya filem 'Cigu Jumat' ini akan dapat membuka minda orang ramai khususnya masyarakat di negara ini akan memahami pengorbanan seseorang guru, tidak nampak di mata tetapi Allah yang nampak keikhlasan mereka.


“Menjauhkan fitnah tular di zaman ini serta menjauhkan sifat dengki serta riak dalam kalangan warga kerja serta lupa akan nilai sebuah keikhlasan yang begitu besar ganjarannya."Tambah beliau.


Apa yang pasti filem ini sangat menyentuh di hati kita dan banyak yang dapat kita ambil pengajaran daripadanya. Datang dan berikan sokongan kepada filem tempatan kita agar dapat menghasilkan kualiti filem yang baik sekali gus mengembangkan lagi industri perfileman di negara ini. 


Close